SEJARAH TAEKWONDO: MASTER-MASTER TERAWAL
Gaya pengamal seni beladiri Korea di abad ke-20 sedikit sebanyak dipengaruhi seni Jepun walaupun ada yang menafikan fakta ini. Pengharaman Jepun terhadap seni beladiri Korea tidak mampu menghapuskan amalan Korea sepenuhnya. Pengharaman ini hanya menyebabkan keinginan untuk lebih mendalami seni beladiri Korea yang diteruskan di kuil-kuil dan tempat-tempat pelarian. Taekyon diamalkan secara rahsia dan diperturunkan kepada pelajarnya seperti Han Il-Dong dan Duk Ki Song. Di bawah Han Il-Dong iaitu pada 1930’an, Choi Hong Hi “bakal Bapa Taekwondo” mula menjalani latihan Taekyon.
Gichin Funakoshi

Giichin Funakoshi
Demonstrasi terbuka pertama Okinawa-te Karate telah bertempat di Okinawa pada 1906. Pada 1911, Laksamana Dewa, seorang komander tentera laut Jepun semasa di Okinawa, telah memilih 10 daripada pegawainya untuk mempelajari Karate Okinawa-te. Demonstrasi pertama yang dibuat di luar Okinawa diadakan di Pusat Seni Beladiri Kyoto di Jepun pada 1916 oleh beberapa pakar termasuk Gichin Funakoshi, seorang professor bahasa di Kolej Perguruan Okinawa. Pada tahun 1921, Raja Muda Jepun singgah di Okinawa sebelum ke Eropah dan telah dipersembahkan dengan pertunjukan Karate Okinawa oleh Funakoshi. Ini menjadi titik mula untuk Karate dijadikan sebagai aktiviti yang dipayungi oleh Kementerian Pendidikan.
Selepas demonstrasi, Funakoshi telah menerima banyak permintaan untuk beliau mengajar seni Karate Okinawa di seluruh Jepun. Pada 1922, Funakoshi menerbitkan buku pertamanya berkenaan Karate Okinawa bertajuk Ryukyu Kempo Karate. Seni tersebut diajar di Kodokan, sebuah tempat latihan Judo, sehinggalah beliau menubuhkan Shotokan pada tahun 1936. Di Jepun, Okinawa-te diadun daripada Jujitsu dan Taekyon yang dibawa ke Jepun, dan pada masa yang sama timbul satu seni yang diperkenalkan oleh Funakoshi bernama Goju-ryu. Funakoshi dianggap sebagai Bapa Karate Moden.
Master Okinawa Yang Lain
Pada 1887, Kanbun Uechi telah pergi ke selatan China di mana beliau mempelajari tiga aliran yang terkenal dalam Kempo. Beliau mempelajari Pai-gai-noon-chaun-fa dengan Shiwa Shu (Tzu Ho Cho) yang mengajarnya gerakan-gerakan pattern terbaik dipilih daripada tiga aliran iaitu Sanchin (latihan yang dicipta oleh Bodhidharma), Seisan dan San-ju-roku. Selepas 13 tahun di China, salah seorang pelajar Kanbun membunuh seorang lelaki akibat pergaduhan, justeru Kabun meninggalkan China dan berjanji tidak akan mengajar Kempo lagi. Sedekad kemudian, beliau berhijrah ke Jepun kerana keadaan ekonomi. Di Jepun, beberapa rakan beliau dari Okinawa dibelasah oleh gangster dan penyangak Jepun, oleh itu untuk membantu rakan-rakannya, beliau memulakan pengajaran Kempo semula di awal 1920’an. Nama Kempo kemudiannya ditukar kepada Karate-do pada tahun 1930’an.

Kanbun Uechi Chojun Miyagi
Selepas kematian Kanbun pada 1948, anaknya Kanei mengambil alih tugas mengajar dan menamakan seni itu Uechi-ryu sebagai penghormatan kepada bapanya. Tugasnya diwariskan kepada anaknya Kanmei selepas kematian Kanei namun akibat pergolakan politik, Uechi-ryu berpecah kepada beberapa kumpulan.
Pada 1929, Chojun Miyagi, pengasas Goju-ryu Karate pergi ke Jepun bersama Kenwa Mabuni, pengasas Shito-ryu Karate. Kelab Karate Universiti di Jepun yang pertama ditubuhkan ialah di Keio Universiti pada 1924. Universiti Tokyo pula adalah yang pertama memperkenalkan penggunaan alat perlindungan (protective equipment) untuk pertandingan pada 1939.
Shihan Kori Hisataka memperkenalkan Karate-do di Taiwan pada 1929. Pada 1932, beliau memperkenalkan semula Karate-do di China semasa sambutan penubuhan Konfederasi China Manchuria yang menjadi penerimaan Karate-do di China secara rasmi.
Karate mula diperkenalkan di Amerika Syarikat oleh Norimichi Yabe pada 1920 semasa demonstrasi Timur Barat. Pada 1963, Shihan Masayuki Hisataka memperkenalkan Shorin-jiryu Kenkokan Karate-do di Amerika Syarikat. Pada 1964, beliau menjadi wakil rasmi negara Jepun dalam Pesta New York Sedunia dan telah mendemonstrasikan Karate-do pertama kalinya secara rasmi yang disaksikan wakil-wakil sedunia.
Mas Oyama

Mas Oyama dan Gen. Choi

Mas Oyama
Semasa penjajahan Jepun di tanah Korea, ramai bangsa Korea berhijrah ke Jepun untuk melanjutkan pengajian dan mempelajari seni beladiri. Salah seorang daripada mereka adalah Choi Yong-I (disebabkan undang-undang Jepun, beliau menukarkan namanya kepada Masusatsu Oyama) lahir pada 27 Julai 1923.
Semasa berumur 9 tahun beliau tinggal di lading kepunyaan kakaknya di Manchuria, telah mula mempelajari gerakan Kempo China selatan yang dikenali sebagai 18 Tangan. Pada 1938, ketika berumur 12 tahun, Oyama berhijrah ke Jepun dengan cita-cita mengikuti sekolah penerbangan untuk menjadi juruterbang perang. Pada 1941 beliau memasuki Universiti Takushoku di Tokyo untuk kursus penerbangan tetapi beliau lebih menumpukan tenaganya dalam pembelajaran Karate. Beliau juga aktif berlatih dalam seni Judo dan tinju. Minat yang mendalam ini mendorong beliau mengikuti latihan di dojo (dewan latihan) Gishin Funakoshi dan mula mengamalkan Karate Okinawa.
Dengan dedikasi yang tinggi, Oyama begitu progresif dan apabila mencapai umur 20 tahun beliau telah mencapai 4th Dan. Pada ketika inilah beliau menyertai tentera Imperial Jepun dan berlatih Judo dengan harapan menguasai teknik pegangan dan humbanan. Beliau berhenti dalam Judo selepas 4 tahun dan juga mencapai 4th Dan. Beliau juga sempat menerima latihan Karate Goju-ryu selama 2 tahun di bawah guru Neichu.
Selepas Jepun tewas, Oyama sebagaimana pemuda Jepun yang lain menghadapi krisis peribadi. Beliau menemui jalan untuk mengubati kesedihannya melalui latihan bersama So Nei Chu, seorang pakar Karate Goju-ryu berbangsa Korea. Guru beliau ini terkenal dengan kekuatan fizikal dan pengamatan spiritual yang mendalam dan telah mempengaruhi kehidupan Mas Oyama. Master So mengajarnya hubungan antara Budo dan asas spiritual Buddhism yang berkait rapat dan tidak boleh dipisahkan. Selepas beberapa tahun berlatih, Master So menasihati Oyama agar membuat keputusan penting dalam hidupnya iaitu mendedikasikan masa dalam hidupnya untuk pertapaan di kawasan pergunungan sebagai satu latihan pemikiran dan jasmani beliau.
Pada 1946, Mas Oyama telah memulakan latihan pertapaan di Gunung Kiyosumi di Chiba. Beliau diiringi oleh seorang pelajarnya bernama Yashiro. Rakan beliau En.Kayama pula menghantar bekalan makanan setiap bulan. Menerusi latihan cekal ini, Oyama mempelajari mengatasi tekanan mental akibat dari pengasingan social dan kemudahan lain. Tetapi Yashiro gagal meneruskan pertapaan dan telah pulang selepas 6 bulan. Empat belas bulan seterusnya En.Kayama memberitahu bahawa dia tidak lagi berupaya menghantar bekalan makanan tersebut akibat keadaan ekonomi yang merosot. Oleh itu rancangan Mas Oyama untuk bertapa selama tiga tahun tidak kesampaian. Beliau keluar dari pertapaan dan mula mengajar seni Karate-do yang diolah sendiri dikenali sebagai Kyokushin-kai di seluruh dunia. Pada 1950, Mas Oyama bertarung dengan beberapa ekor lembu liar untuk menguji kekuatannya dan untuk menunjukkan kepada dunia bahawa seni Karate-do alirannya mampu menjana kuasa kekuatan. Keseluruhannya beliau telah berjaya melawan 53 ekor lembu liar, 3 daripadanya maut serta-merta dan 49 daripadanya dicabut tanduk dengan hanya teknik tangan pepisaunya.
Mas Oyama membuka Dojo yang pertama bernama Kyokushin Kaikan pada 1953 di Mejiro, Tokyo. Inilah ketikanya kekuatan Mas Oyama berada di tahap puncak dengan latihannya yang begitu keras. Ramai pelajar yang datang dari perguruan lain mengikuti beliau dan Mas Oyama sering mengkaji perbezaan gaya perguruan yang dibawa oleh pelatihnya. Beliau akan memilih apa yang difikirkan gaya teknik dan konsep terbaik daripada seni beladiri yang lain dan secara beransur-ansur membuat penyesuaian ke dalam latihannya. Justeru tindakan beliau ini menjadi asas kepada kekuatan Karate Kyokushin yang sebenar.
Hwang Kee

Hwang Kee
Hwang Kee lahir pada 9 November 1914 di Jang Dan dalam wilayah Kyong Ki. Nama sebenarnya ialah Taenam yang bermaksud Budak Bintang, beliau dibesarkan untuk menjadi pengajar seni beladiri yang terkenal. Pendedahan awal terhadap seni beladiri berlaku pada Mei 1921 ketika berumur 7 tahun, semasa Pesta Dan-O (pesta kebangsaan bulan Mei), beliau menyaksikan satu pergaduhan antara seorang lelaki dengan lapan orang lelaki. Orang tersebut berjaya mengalahkan kesemua lawannya dengan menggunakan pelbagai teknik tendangan. Orang ramai ketika itu mengatakan lelaki itu menggunakan Taekyon dan ada yang lain mengatakan seni Ship Pal Ki. Hwang begitu tertarik dan mengikuti lelaki tersebut dari jauh sehingga ke rumahnya. Hwang meminta lelaki itu mengajarnya tetapi dia enggan kerana Hwang masih lagi seorang budak. Hwang memerhati latihan lelaki itu dari jauh dan meniru gerakannya.
Pada Mei 1935, Hwang mengembara ke China dan bekerja dalam pengangkutan keretapi Manchuria. Selama 20 tahun beliau berlatih sendiri tanpa latihan yang formal. Pada 1936, beliau menerima latihan secara rasminya daripada ahli seni beladiri tempatan Master Yang Kuk Jin. Master Yang melatih Hwang dalam seni She-Bop (seni postur badan dan langkah) dan Ryun-Bop (seni kawalan). Beliau juga menerima latihan yang dikenali sebagai Dham-Toi-Dipero dan Tae-Kuk-Kwon yang digunakan dalam pertempuran dan perang. Latihan diterima Hwang sehingga Ogos 1937 apabila beliau terpaksa pulang ke Korea kerana urusan peribadi. Beliau kembali ke China pada 1941 untuk lawatan dan latihan dengan Master Yang tetapi ketika itu China telah menjadi negara Komunis, segala bentuk komunikasi antara mereka berdua terus terhenti.
Pada 1939, Hwang yang bekerja dengan Biro Keretapi Choson ketika itu sempat meluangkan masa membaca buku-buku berkenaan Karate Okinawa di perpustakaan. Melalui bacaan ini beliau memperkembangkan gerakan-gerakan dalam Soo-Bak-Do-Moo-Duk-Kwan. Pada 9 November 1945 beliau menggabungkan latihannya dalam Taekyon dengan Chuan’fa dan menokok tambah gerakan-gerakan Karate Okinawa yang diperolehinya melalui bacaan, beliau kemudiannya mengasas Moo-Duk-Kwan. Moo bermaksud tentera dan pencegahan konflik, Duk bermaksud disiplin dan nilai murni manakala Kwan bermaksud sekolah.
Pada 1957 beliau menemui satu buku berjudul Moo Yei Do Bo Tong Ji, karya sejarah berkenaan seni beladiri Korea yang ditulis 300 tahun dahulu yang merupakan satu-satunya buku seni beladiri Korea yang diketahui wujud. Daripada buku itu, Hwang telah menemui teknik hand-strike dan teknik tarian hand strike tradisional. Teknik-teknik inilah yang menjadi sebahagian asas dalam perkembangan teknik Taekwondo.
Yung Shul Choi

Yung Shul Choi
Yung Shul Choi lahir di Taegue, Korea pada 1904. Pada 1909 semasa Korea di bawah penjajahan Jepun, tentera Jepun membawa Choi ketika beliau masih kecil untuk menjadi buruh paksa. Choi menjadi budak suruhan Sokaku Takeda (1860-1943), pewaris ke-32 seni beladiri Daito-ryu Aikijitsu. Teknik-teknik dalam seni tersebut adalah kunci, humbanan, jerat badan, cekikan, pegangan dan teknik-teknik biasa seperti tendangan, lutut dan tumbukan. Takeda ketika itu berumur 44 tahun dan Choi pula berumur 7 tahun. Choi diberi peluang mempelajari seni itu sehingga dewasa.
Choi kekal sebagai orang suruhan Takeda selama 30 tahun sehingga 25 April 1943 apabila tuannya meninggal dunia. Choi pulang ke Taegue, Korea. Selepas pembebasan Korea, Choi mula menubuhkan sekolah seni beladirinya sendiri.
Pada asalnya, Choi mengajar corak latihan Daito-ryu Aikijitsu yang betul-betul tulin sebagaimana yang diamalkan Takeda. Lama kelamaan beliau terpengaruh dengan beberapa pengasas seni beladiri Korea seperti Jeneral Choi Hong Hi dan Hwang Kee yang memperkembangkan seni berasaskan Taekyon. Penemuan Choi dalam seni lain menyebabkan beliau menyerapkan teknik-teknik tumbukan dan tendangan ke dalam Daito-ryu Aikijitsu. Sebagaimana seni yang lain, beliau juga memperkembangkan seni yang baru dan menukar nama pada 1963 kepada Hapkido. Morehei Ueshiba merupakan pengasas Aikido pernah mempelajari Daitu-ryu Aikijitsu dengan Takeda bersama-sama Choi. Sesetengah pengkaji meletakkan garis perbezaan antara dua seni ini. Walaupun terdapat persamaan, masing-masing mempunyai falsafah yang berlainan.
Choi Hong Hi
-klik pada
tajuk -