MESYUARAT AGUNG TAHUNAN KE-17

PERSATUAN TAEKWON-DO NEGERI TERENGGANU (GTF)

 

Kandungan       A. Laporan Bahagian Pentadbiran                                 ….       M/s   1 – 6

                        B. Laporan Aktiviti Utama                                            ….       M/s   6 – 11

                        C. Laporan Bahagian Kebudayaan & Keugamaan         ….       M/s 11 – 12

 

 

A.      LAPORAN BAHAGIAN PENTADBIRAN

 

Dengan segala hormatnya saya selaku Setiausaha Agung Persatuan Taekwon-Do Negeri Terengganu (GTF) melaporkan perkembangan.

 

Sejurus selepas Sidang AJK Pertama yang diadakan pada tahun lepas pada 20hb. Oktober 2001 di Kediaman Presiden beberapa perkembangan berjaya dilaksanakan.  Ahli-ahli jawatankuasa telah diperingat melalui surat bertarikh 26hb. Ogos 2002 supaya melaksanakan tanggungjawab dan berusaha meningkatkan kualiti perkhidmatan.

 

1.  Aktiviti Bersama Jabatan Belia & Sukan

Bahagian aktiviti dan perhubungan yang melibatkan Jabatan Belia & Sukan Negeri diketuai oleh En. Ahmad Rusydan Suhaimi. Saya mengucapkan syabas kepada beliau kerana selaku Timbalan Setiausaha dalam Persatuan ini, beliau berjaya melaksanakan tanggungjawab beliau dalam membantu menjana aktiviti-aktiviti penting untuk belia dan pelajar.  Penglibatan Jabatan Belia & Sukan Negeri Terengganu amat penting kerana di samping menyediakan platfom aktiviti, pihak Jabatan juga membantu dalam peningkatan kewangan Persatuan.  Dalam hal ini, pihak AJK dalam Sidang AJK Pertama telah membuat saranan kepada Timbalan Setiausaha dan Bendahari agar dapat bekerjasama dalam menjaga rekod penglibatan akitiviti dan kawalan kewangan yang melibatkan aktiviti Jabatan.  Saya yakin sekiranya perkara ini diperhalusi maka rekod-rekod terbabit boleh menjadi lebih tersusun.  Secara keseluruhannya program yang dijanakan bersama-sama Jabatan telah berjaya menonjol nama Persatuan yang sering membantu Jabatan Belia & Sukan.

 

2.  Bahagian Eksekutif Pentadbiran

Bahagian Eksekutif Pentadbiran yang terdiri daripada Setiausaha Agung, Timbalan Setiausaha Agung dan Bendahari ketika ini cuba melaksanakan tanggungjawab asas sebelum bertapak jauh iaitu mengemaskini rekod-rekod lama dan sekaligus menyelaraskan pendaftaran ahli-ahli. 

 

Bahagian Eksekutif Pentadbiran kerap membuat perjumpaan dan membuat keputusan-keputusan segera melalui Mesyuarat Setiausaha Agung (MSA) yang mana banyak membantu menyegerakan seberapa yang boleh terhadap perkara-perkara tertentu.

 

3.  Rekod Keahlian

Sehingga kini borang keahlian telah dinomborkan namun proses menempah kad ahli masih belum mendapat kelulusan mesyuarat.  Ini kerana proses ini akan menelan belanja yang tinggi dan memerlukan salah seorang AJK yang mampu membantu menyegerakan hal ini.  Buat masa ini para AJK didapati tidak dapat meluangkan masa yang secukupnya untuk mengadakan pertemuan. 

 

Melalui satu notis kepada jurulatih-jurulatih, mereka diingatkan supaya mematuhi tatacara dan syarat pendaftaran sebagaimana yang telah dibincangkan bersama sebelum ini.  Pihak Persatuan mendapati perkara ini masih  belum dipatuhi.  Justeru itu mesyuarat di kalangan jurulatih adalah penting untuk diadakan supaya semua yang terbabit dapat memain peranan membantu memudahkan pentadbiran.

 

Keahlian kanak-kanak di Pusat Latihan bagi pada tahun ini didapati meningkat dan pihak Persatuan mendapati ruang latihan yang maksimum digunakan.


 

3.  Pusat Latihan (Centre) Kuala Terengganu

Sejak AJK yang baru memegang jawatan, “Centre” di bawah kendalian En. Nasree bin Najmi dengan bantuan beberapa AJK Persatuan berjaya ditingkatkan kualiti persekitarannya. 

 

Kini bahagian hadapan ruang latihan telah dilengkapi dengan cermin. Satu bilik berjaya dijadikan sebagai bilik mesyuarat dan pentadbiran, satu bilik dikekalkan untuk latihan khas dan persalinan.  Satu bilik lagi buat masa ini dijadikan stor barangan taekwon-do.

 

Centre masih menghadapi masalah bekalan air.  En. Najmi Abdullah telah mengambil inisiatif untuk membaiki sistem paip dan pihak Syarikat Air Terengganu (SATU) telah bertindak menyambung semula bekalan.  Namun begitu kuantiti dan tekanan air yang diperolehi tidak memuaskan walaupun tangki air diperiksa dan dibaiki.  Cuma satu bilik air sahaja dapat digunakan tetapi belum sepenuhnya dan keadaannya kurang selesa. 

 

Ahli-ahli dan jurulatih yang hadir untuk latihan disaran mengambil inisiatif untuk membantu menyelesaikan masalah ini.  Saya menyarankan sekurang-kurangnya bilik air yang mendapat bekalan air dapat dibersihkan.  Ini sepatutnya menjadi moral ahli-ahli dan jurulatih yang sering menggunakan Centre untuk latihan mereka.

 

Centre juga setakat ini dilengkapi alatan bantuan latihan baru.  Semoga di masa hadapan tempat ini dapat dimanfaatkan dan dijaga oleh ahli-ahli. 

 

Centre setakat ini masih lagi menjadi Pusat Gerakan yang penting untuk Persatuan.  Untuk makluman, premis ini dibiaya secara persendirian oleh En. Najmi Abdullah.  Justeru itu AJK-AJK, jurulatih-jurulatih dan ahli-ahli perlu menjaga kebersihan dan membantu menjaga kebajikan Centre.  Pihak Persatuan mengucapkan terima kasih kerana En. Najmi Abdullah masih lagi membenarkan premis ini digunakan demi perkembangan Persatuan.

 

 

4.  Majlis Talipinggang Hitam (Blackbelt Board)

Majlis ini dipersetujui diadakan dan mendapat restu Presiden pada 20hb. Oktober 2001.  Ini kerana di kebanyakan negeri wujud satu badan yang dikawal oleh Persatuan.  Badan ini hanyalah sebagai jawatankuasa khas untuk menjaga kebajikan jurulatih dan pemegang talipinggang hitam yang berdaftar di bawah Persatuan ini.  Majlis tidak boleh membuat keputusan bagi pihak Persatuan tetapi boleh membuat saranan dalam pelbagai hal.  Majlis ini penting supaya pemegang talipinggang hitam dan jurulatih yang aktif dijaga kebajikan.  Sebagai contoh Tabung Majlis yang diwujudkan sesama jurulatih boleh digunakan untuk membantu pemegang talipinggang hitam untuk mewakili Persatuan ke aktiviti-aktiviti penting seperti seminar kejurulatihan. 

 

Majlis akan disahkan secara formal apabila Perlembagaan Persatuan dipinda dengan memasukkan fasal baru berkenaan Majlis Talipinggang Hitam beserta fungsi-fungsinya.  Perkara ini masih menjalani tempoh ujian dan Persatuan akan hanya membenarkan kewujudannya secara formal apabila Majlis bersedia dengan rekod-rekod pemegang talipinggang hitam yang terkini. 

 

Majlis Talipinggang Hitam juga dilihat penting bagi penyediaan latihan untuk pemegang talipinggang hitam.  Sukatan pembelajaran yang terkini oleh MGTF melalui beberapa seminar kejurulatihan yang diadakan sebelum ini disampaikan oleh Majlis kepada pemegang talipinggang hitam di negeri ini.

 

 

5.  Isu Surat Arahan Jabatan Pendidikan Negeri

Persatuan dikejutkan apabila dikhabarkan oleh salah seorang Guru Besar di negeri ini bahawa terdapat arahan daripada Jabatan Pendidikan Negeri supaya mengiktiraf MTA (WTF) sahaja bagi kegiatan taekwon-do di sekolah-sekolah. 

 

Salinan surat berkenaan telah diserah kepada Presiden MGTF semasa Kejohanan TKD Kebangsaan 2002 di Port Dickson.  Presiden MGTF telah bertindak pada 7hb. November 2002 dengan  menghantar satu notis kepada Ketua Sektor yang mengeluarkan surat berkenaan agar menarik balik arahan tersebut. 

 

Hal ini sudah tentu menjadi batu penghalang kepada perkembangan kegiatan Persatuan di masa hadapan dan boleh menjejaskan imej.  Arahan sedemikian tidak patut dikeluarkan kerana Persatuan ini juga adalah badan yang diiktiraf dan berdaftar di bawah Pesuruhjaya Sukan.

 

Justeru itu pihak Persatuan akan mengeluarkan surat yang mengesahkan bahawa Persatuan ini adalah sah dan diiktiraf.  Para jurulatih disaran untuk membuat susulan di sekolah-sekolah untuk memberi penerangan kepada guru besar dan pengetua.

 

Pihak Persatuan masih memantau perkembangan hal ini. 

 

6.  Perlantikan Penaung

Persatuan berasa bertuah kerana Ketua Polis Negeri, Tuan SAC 1 Othman Talib sudi menerima tawaran untuk menjadi Penaung Persatuan.  Perlantikan ini sejajar dengan kedudukan beliau sebagai salah seorang Ketua Polis yang disegani di negara ini dan kedudukan Persatuan sebagai jentera membanteras gejala-gejala negatif. 

 

Sebelum ini Persatuan tidak ada rekod bahawa Persatuan pernah melantik mana-mana individu sebagai Penaung. 

 

Tuan SAC 1 Othman Talib adalah seorang yang banyak menabur budi dalam perkembangan seni ini.  Beliau sudah lama berkecimpung dalam aktiviti-aktiviti yang dianjurkan oleh MGTF dan begitu mengenali Presiden MGTF.  Beliau pernah memainkan peranan dalam penganjuran bersama MGTF iaitu Kejohanan TKD Kebangsaan 2000 di Kuala Lumpur. 

 

Sehingga kini, sokongan pihak Polis amatlah penting dalam kemajuan Persatuan dan MGTF.  Sebagai contoh bekas Ketua Polis negeri yang kini menjadi Pesuruhjaya Polis Sarawak, Y.Bhg. Dato’ Hj. Yusof Jaafar masih lagi memegang jawatan Timbalan Presiden MGTF.

 

Pihak Persatuan akan sedaya upaya menjana pelbagai aktiviti bersama-sama pihak Polis sejajar dengan hasrat Polis negeri ini yang ingin bekerjasama dengan persatuan-persatuan belia di negeri ini. 

 

Tuan SAC 1 Othman Talib kini adalah pemegang talipinggang hitam kehormat Darjah Ketiga (3rd Dan). 

 

B.  LAPORAN AKTIVITI        

 

Sepanjang sesi 2001-2002, beberapa aktiviti dan kejohanan yang sempat dijalankan  adalah seperti berikut:

 

1.   Kejohanan Taekwon-Do MGTF Peringkat Kebangsaan 2001 di Pulau Pinang

            Kejohanan yang di adakan di Dewan Tunku, KOMTAR pada 29 – 30 Disember 2001 ini merupakan antara kejohanan kemuncak dalam setahun kalendar MGTF. Ia disertai oleh semua persatuan negeri yang bergabung di bawah MGTF. Kejohanan kebangsaan ini mmerupakan medan pemilihan bakat-bakat baru untuk mewakili negara ke Kejohanan Taekwon-Do Dunia 2002 yang akan diadakan di Toronto, Kanada.

 

Kali ini kontinjen dari Negeri Terengganu yang terlibat adalah seramai 25 orang termasuk pegawai. Dalam kejohanan kali ini kita hanya berjaya membawa pulang 5 pingat seperti berikut:

 

Pingat emas   :  1

Pingat perak  :  2

Pingat gangsa            :  2

 

 

2.   Seminar Sukan Untuk Semua Peringkat Negeri Terengganu.

Seminar anjuran Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu ini telah diadakan pada 14hb. Mac 2002 bertempat di Hotel Permai Park Inn, Kuala Terengganu. 4 peserta dari persatuan telah dipanggil untuk mengikuti seminar sehari itu. Antara pengisian yang diberikan ialah penerangan berkenaan Akta Pembangunan Sukan 1997, Program Kecerdasan dari Kementerian Kesihatan dan program bulan “Sukan Untuk Semua”. Persatuan telah menghantar seramai 3 orang wakil ke seminar tersebut.

 

3.   Grading Berpusat Kali Pertama di SMT Wakaf Tembusu.

Aktiviti pertama persatuan pada tahun 2002 ialah mengadakan satu ujian kenaikan tali pinggang secara berpusat. Grading ini dibahagikan kepada 2 sesi iaitu sesi pagi dan sesi petang. Sesi pagi meliputi kawasan bandar dan bertempat di Sekolah Menengah Agama Sultan Zainal Abidin (Atas) Batu Buruk. Sesi petang pula meliputi kawasan Terengganu Utara dan sekitar Gong Badak.

 

            Grading ini merupakan grading pertama untuk tahun ini yang diadakan secara berpusat. Ia bertujuan memudahkan pihak persatuan memberi sedikit taklimat dan penerangan kepada para pelajar berkenaan ISTAC 2002.

 

            Sekolah yang terlibat  pada sesi pagi adalah seperti berikut:-

1- Sekolah Menengah Agama Sultan Zainal Abidin

2- Sekolah Menengah Agama Khairiah

3- Sekolah Menengah Agama Sheikh Abdul Malek

 

Seramai 4 peserta yang cemerlang dianugerah dengan kenaikan triple. 

Seorang lulus talipinggang hitam Darjah Pertama (1st Dan) dan seorang jurulatih lulus talipinggang hitam Darjah Kedua (2nd Dan).

 

Jumlah keseluruhan peserta yang terlibat ialah 40 orang.

 

            Manakala sekolah yang terlibat pada sesi petang adalah seperti berikut:-

1- Sekolah Menengah Teknik Wakaf Tembesu

2- Sekolah Menengah Agama Batu Rakit

3- Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Guntong

4- Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Mizan Zainal Abidin

 

Hanya seorang peserta sahaja pada sesi petang mendapat kenaikan triple.

Jumlah keseluruhan peserta yang terlibat ialah 80 orang.

 

 


4.   Grading Berpusat Kali Kedua.

            Grading berpusat kali kedua ini di adakan di Sekolah Khairiah. Sekolah- sekolah yang terlibat adalah Sekolah Menengah Agama Sultan Zainal Abidin, KOSPINT dan Sekolah Menengah Agama Sheikh Abdul Malek. Jumlah peserta yang mengambil bahagian adalah seramai 60 orang. Ini merupakan sebilangan pelajar yang tidak sempat untuk menduduki grading yang pertama sebelum ini.

 

 

5.   Grading Khas 3rd Degree Blackbelt

Tanggal 26hb. Julai 2002, Ketua Jurulatih Negeri telah menjemput Grandmaster Dato’ Dr. Sabree Salleh ke Pusat Latihan Kuala Terengganu bagi mengendalikan ujian untuk 2 jurulatih penting iaitu En. Paul James Monteiro dan En. Nasree Najmi.  Pada tarikh ini merupakan detik bersejarah bagi mereka dan Persatuan kerana mereka berdua berjaya lulus ujian tersebut.  Grandmaster telah memuji mereka terutama kepada En. Paul yang begitu senior dalam seni ini.  Kini Persatuan telah mempunyai tiga jurulatih aktif bertalipinggang hitam Darjah Ketiga.

 

 

6.       Kejohanan Kebangsaan Seni Mempertahankan Diri Rakan Muda 2002

            Kejohanan ini dianjurkan oleh Kementerian Belia dan Sukan. Ia bertempat di Kuantan, Pahang pada 30 Mei hingga 2 Jun 2002. Ia merangkumi 17 aliran persilatan di Malaysia. Bagi Taekwon-Do GTF, pertandingan berlangsung di Ruang Legar Kuantan Parade. Seramai 15 orang peserta termasuk 5 pegawai mewakili Taekwon-Do GTF Negeri Terengganu.

 

Sepanjang perlawanan berlangsung, salah seorang dari peserta telah dimasukkan ke hospital kerana dikhuatiri mengalami pendarahan dalaman perut akibat tendangan pihak lawan. Namun begitu, selepas pemeriksaan doktor, peserta tersebut telah dibenarkan pulang kerana disahkan hanya mengalami ketegangan otot perut dan tiada kecederaan yang serius atau pendarahan dalaman.

 

Tahun ini kita hanya dapat mengekalkan jumlah pungutan pingat emas tahun lepas iaitu 2 emas dan 1 pingat perak. Dua daripada peserta kita telah menerima imbuhan wang dari pihak Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu kerana membantu menyumbangkan 13 pingat emas keseluruhan negeri.

 

 

7.   Kursus Kepimpinan dan Pengurusan NGO’s Sukan dan Rekreasi.

            Kursus anjuran Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu adalah bertujuan memberi pendedahan kepada badan-badan sukan NGO’s dan persatuan-persatuan sukan dan rekreasi dalam proses serta prosedur dalam pentadbiran sukan. Kursus yang di adakan selama 4 hari bermula dari 7 – 10 Jun 2001 di Pulau Rhu, Besut juga melibatkan beberapa badan sukan dari Negeri Pahang dan Kelantan.

 

            Antara lain kursus ini bertujuan untuk memantapkan tahap kepimpinan dan pengurusan NGO’s sukan dan rekreasi serta meningkatkan pengetahuan pengerak-pengerak serta para jurulatih dalam bidan pengurusan persatuan. Persatuan telah menghantar seramai 2 orang wakil ke kursus tersebut iaitu Cik Rizawati Rathna Razak dan Cik Rahimawati Ali.

 

 

8.   Kejohanan Taekwon-Do GTF Jemputan Negeri Kelantan.

            Ini merupakan kejohanan jemputan luar yang pertama persatuan menghantar wakil dan ianya juga merupakan jumlah yang paling ramai kerana faktor jarak yang dekat. Kejohanan yang diadakan pada 5 – 6 Julai 2002 ini di adakan di Kompleks Sukan Sekolah Putera. 

 

            Kejohanan ini adalah kejohanan peringkat Negeri Kelantan dan mereka telah menjemput beberapa persatuan dari Negeri Terengganu, Pahang, Johor dan Negeri Sembilan. Di anggarkan seramai 600 orang peserta yang mengambil bahagian dalam kejohanan tersebut. Kita menghantar seramai 38 orang peserta dan 2 orang pegawai bagi mewakili Persatuan Taekwon-Do Negeri Terengganu (GTF).

 

            Manakala keseluruhan perbelanjaan adalah ditanggung sendiri oleh peserta yang kebanyakannya terdiri daripada pemenang-pemenang pingat yang memenangi pingat semasa kejohanan ISTAC yang di adakan sebelum itu. Mereka kebanyakannya terdiri dari pelajar Sekolah Menengah Agama Khairiah dan dari Pusat Latihan Negeri sendiri.

 

            Pada kejohanan jemputan ini kita hampir-hampir menggondol johan keseluruhan selepas berjaya membawa pulang sebanyak 27 pingat emas berbanding negeri Kelantan sebanyak 29 pingat emas. Manakala 3 dari peserta kita telah terpilih sebagai peserta terbaik lelaki dan terbaik perempuan. Kejohanan ini merupakan satu pendedahan awal kepada peserta-peserta kita di peringkat luar dari Negeri Terengganu bagi persediaan ke peringkat kebangsaan.

 

 

9.       Kejohanan Taekwon-Do Kebangsaan MGTF 2002 di Negeri Sembilan

Kejohanan TKD Kebangsaan 2002 kali ini telah di adakan di Politeknik Port Dickson, Negeri Sembilan. Kejohanan ini diadakan pada 1-2 November 2002 baru-baru ini. Persatuan telah menghantar wakil seramai 18 orang peserta termasuk pegawai dan ketua jurulatih negeri. Semua penempatan peserta telah disediakan oleh pihak penganjur dengan harga sewaan yang cukup murah, tidak seperti kejohanan kebangsaan yang sebelumnya, dimana para peserta terpaksa menginap di hotel yang mahal harganya.

 

            Jarak dari tempat penginapan dengan gelanggang kejohanan juga dekat dan ini sedikit sebanyak telah memberi kemudahan kepada para peserta yang tidak perlu berjalan jauh untuk berulang alik ketempat kejohanan.

 

            Semasa majlis perasmian kejohanan, Grand Master Dato’ Dr. Sabree Salleh sendiri telah mengumumkan bahawa hak penganjuran Kejohanan Taekwon-Do Kebangsaan MGTF 2003 tahun hadapan telah diberi kepada Negeri Terengganu. Seterusnya bendera kejohanan juga telah diserahkan kepada Ketua Jurulatih Negeri.

Pada kejohanan kali ini negeri berjaya membawa balik 1 pingat emas, 2 perak dan 3 gangsa. Berikut adalah perincian pemenang,

 


Emas

·            Nasriah Najmi – Free Sparing Female Hyper Weight

 

Perak

·            Ahmad Irham – Free Sparing Male Micro Weight

·            Lily Suzie – Free Sparing Female Heavy Weight 

 

Gangsa

·            Rahimawati Ali – Free Sparing Female Middle Weight

·            Team Sparing Male

·            Team Sparing Female

 

Alhamdulillah sepanjang kejohanan tersebut tidak ada apa-apa perkara yang tidak diingini berlaku, melainkan sedikit kecederaan kecil kepada peserta negeri. Tapi ianya tidak mematahkan semangat peserta-peserta lain.

 

Berikut adalah aktiviti yang sempat dilaksanakan untuk tahun ini. Kebanyakan aktiviti yang dirancang tidak dapat dijalankan dengan baik disebabkan kurangnya komitmen dari semua ahli persatuan dan ajk-ajk lain. Bagi menjalankan satu aktiviti yang sempurna, semua pihak seharusnya memainkan peranan masing-masing dan tidak seharusnya mengharapkan satu pihak saja untuk melaksanakannya. Kerjasama yang baik adalah perlu demi kebaikan untuk semua.

 

 

C.  LAPORAN BAHAGIAN KEBUDAYAAN & KEUGAMAAN

 

Fungsi utama Jawatankuasa Kebudayaan & Keugamaan ialah menjana aktiviti luar yang bukan bentuk latihan tetapi cenderung kepada majlis sosial dan sukan.

 

Bahagian ini banyak membantu dalam tugas pelaksanaan pentadbiran.  Namun beberapa program yang dirancang tidak dapat dilaksanakan oleh kerana banyak bertembung dengan aktiviti-aktiviti utama Persatuan dengan Jabatan Belia & Sukan.  En. Ahmad Irham Mohd. selaku  Ketua di bahagian ini banyak menyumbang tenaga dalam tugas-tugas Khas merangkumi daerah Kuala Terengganu dan Marang.  Antara aktiviti yang dirancang tetapi tertunda ialah :

 

i.                    Perlawanan Bolasepak Persahabatan

ii.                 Program Gotong-royong

iii.               Majlis Makan Malam Jurulatih & AJK

 

Faktor lain yang menjadi penghalang ialah dari segi kewangan.  Aktiviti yang dirancang memerlukan perbelanjaan kewangan yang mana keutamaan diberi kepada aktiviti-aktiviti utama Persatuan seperti kejohanan dan grading.

 

Walaubagaimana pun bahagian ini telah berjaya melaksanakan aktiviti di bulan Ramadhan iaitu Majlis Berbuka Puasa pada tahun lepas dan tahun ini. 

 

Untuk sesi mendatang, fungsi bahagian ini akan diperluaskan dan beberapa ajk kecil akan diserap bagi membantu En. Ahmad Irham melaksanakan tugas. 

 

 

Disediakan oleh;

Hj Saiful Nizam Ashari

Setiausaha Agung